Sebut fasal pengurusan Harta Pusaka Islam, pasti akan mengingatkan kita tentang Hukum Faraidh. Hukum Faraidh adalah hukum syarak yang ditetapkan Allah berkenaan pembagian harta pusaka Islam yang dinyatakan dalam Al-Quran surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176.
Pembahagian harta pusaka Islam di Malaysia hakikatya terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa Pentadbiran, dan fasa Pembahagian.
Fasa Pentadbiran adalah fasa yang sering dilupakan di mana ia melibatkan proses perundangan sebelum membolehkan sesuatu harta itu dipindah milik. Proses inilah yang selalunya menyumbang kepada banyaknya harta pusaka terbeku dan tidak dapat dimanfaatkan oleh waris-waris.
Salah satu punca utama yang dikenal pasti adalah ketiadaan tunai bagi menampung kos pentadbiran harta pusaka.
Tak dinafikan bahawa untuk melalui proses perundangan, memerlukan beberapa sumber seperti masa, kepakaran, dan tunai.
Disebabkan faktor-faktor ini, urusan pentadbiran harta pusaka ditangguhkan. Hendak dijadikan cerita, waris yang sepatutnya mendapat bahagian faraid semasa hidup, tiba-tiba meninggal dunia. Ini menyebabkan urusan pentadbiran harta pusaka menjadi semakin rumit kerana telah berlapis.
Paling parah apabila Wasi atau Pentadbir Harta tidak dilantik melalui wasiat.
Hibah Takaful membolehkan seseorang menyediakan tunai segera semasa hidup dengan jumlah yang besar dalam masa yang singkat. Pastinya ia bersyarat iaitu pemohon perlulah dalam keadaan sihat sebelum memohon.
Hibah itu sendiri bermaksud hadiah dan merupakan pemberian seseorang semasa hidup kepada sesiapa yang dikehendaki. Manakala Takaful adalah insurans berlandakan syariah. Gabungan kedua-duanya menjadikan Hibah Takaful salah satu instrumen kewangan Islam terbaik yang boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja termasuk yang bukan Islam.
Berikut saya ringkaskan dua fungsi utama Hibah Takaful dalam urusan pentadbiran harta pusaka.
- Tebus bahagian faraid
- Fi pentadbiran melalui pentadbir harta/pemegang amanah/peguam
Tebus bahagian faraid
Ini satu contoh mudah. Sepasang suami isteri beragama Islam, 4 orang anak perempuan, dan hanya mempunyai harta sebuah rumah atas nama suami. Si isteri adalah suri rumah sepenuh masa. Jika ditakdirkan si suami meninggal dunia, apakah yang akan berlaku? Kita andaikan si suami tidak membuat apa-apa perancangan harta.
Setelah mendapat sijil faraid dan surat kuasa mentadbir harta, harta suami akan ditadbir dan dibahagikan mengikut syariat Islam.
Jika sebelum ini kita beranggapan isteri dan anak-anak boleh terus mewarisi rumah tanpa keraguan, anggapan itu nyata salah.
Disebabkan si suami tidak mempunyai waris lelaki iaitu anak lelaki, ayah, juga datuk, maka adik beradik suami akan ada bahagiannya dalam faraid.
Yang merumitkan adalah apabila hubungan isteri dengan keluarga suami tidak akrab. Bertegur pun setahun sekali, itu pun hanya pada hari raya. Jarang sangat berkomunikasi, apatah lagi apabila hendak berjumpa dan bercakap pasal harta.
Sebenarnya isu ini boleh seselesai hanya jika semua waris bersetuju jika masing-masing melepaskan hak faraid untuk diberi kepada isteri juga anak-anak si mati. Ini adalah sebaik-baik jalan penyelesaian dan sangat dituntut dalam Islam. Namun, bukan semua orang mempunyai hati suci bersih dan sanggup melepaskan durian runtuh didepan mata.
Jadi dengan Tunai yang diperolehi dari Hibah Takaful, bolehlah digunakan untuk diberikan kepada waris yang menuntut bahagian faraid kerana tidak mahu melepaskan hak. Barangkali bukan semua waris bersikap begitu, namun Tunai yang ada ni amatlah berguna di saat begini. Rumah pun tak perlu dijual, dan anak isteri dapat tetap tinggal di rumah yang sama.
Sebelum terlupa, Hibah Takaful tidak termasuk dalam harta yang perlu di faraidkan, kerana ia sudah menjadi harta waris secara mutlak.
Fi Pentadbiran
Untuk mengurus dan mentadbir harta, sama ada melalui peguam, syarikat pemegang amanah, juga individu, pastinya memerlukan kos.
Malah setiap entiti ini berhak menuntut caj pentadbiran sebanyak maksimum 5% dari jumlah harta pusaka bagi menampung kos yang terlibat seperti turun naik pejabat tanah, mahkamah tinggi, mahkamah syariah, bank-bank, dan sebagainya.
Jika tiada Tunai, bagaimana hendak melaksanakan urusan pencairan harta? Tunai yang ada pula terbeku kerana belum melalui proses pentadbiran pusaka.
Inilah yang menyebabkan harta pusaka terbeku bertahun-tahun lamanya.
Pentingnya Hibah Takaful kerana ia tidak termasuk dalam harta yang perlu ditadbir secara faraid. Umpama kita meletakkan seguni wang Tunai diluar pagar rumah. Inilah wang yang akan digunakan bagi kelansungan hidup waris-waris, juga menampung kos urusan pentadbiran harta pusaka.
Untuk pertanyaan berkenaan hibah takaful, boleh hubungi saya di izzat@izzatakarim.com